Saturday, 11 June 2016

DEFINISI PENDIDIKAN KHAS


DEFINISI PENDIDIKAN KHAS 

Definisi Pendidikan Khas pula ialah satu bidang yang berkaitan dengan kaedah, teknik dan penyelidikan yang tersendiri. Kesemua ini menumpukan ke arah pengurusan dan pembelajaran yang baik bagi menilai dan mematuhi kehendak – kehendak khas. Dari segi praktiknya pendidikan khas merupakan pendidikan individual dengan kaedah-kaedah pengurusan yang bersistematik dari segi susunan fizikal, alatan-alatan khas dan kaedah pengajaran khas. Kesemua intervensi-intervensi yang dibuat ini semata-mata untuk menolong kanak-kanak khas untuk mencapai kepuasan diri dari segi akademik dan vokasional untuk membolehkan mereka berdikari. 

Pendidikan khas juga satu program yang dirancang khusus untuk memenuhi pelbagai keperluan murid-murid khas. Perkara ini termasuk penggunaan bahan-bahan khas, peralatan khas, teknik pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap kebolehan dan keupayaan murid. “Pendidikan Khas merujuk pada pendidikan bagi kanak-kanak luar biasa iaitu kanak-kanak yang dari segi intelek, fizikal, sosial dan emosi yang tidak mencapai pertumbuhan dan penyuburan biasa hinggakan mereka tidak faedah sepenuhnya daripada rancangan sekolah biasa. (Chua Tee dan Koh Boh Boon,1992).

"Satu bentuk pendidikan yang disediakan untuk memenuhi keperluan kanak-kanak berkeperluan khas" Hallahan dan Kauffman(2006)

"Pendidikan Khas merupakan program pengajaran khusus yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan pelajar luar biasa. Ia mungkin memerlukan penggunaan bahan-bahan, peralatan dan kaedah pengajaran khusus" Gargiulo(2003)

"Pendidikan khas adalah pengajaran yang direka bentuk khusus bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang kurang upaya. Pengajaran ini mun gkin dikelolakan dalam bilik darjah, di rumah, di hospital atau institusi lain" Friend (2005)

"Program Pendidikan Khas di Malaysia merupakan satu usaha yang berterusan menggalakkan perkembangan optima seseorang sebagai seorang yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan mampu menguruskan serta menyedari potensi diri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara" Mansor (2005)

Apakah itu Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran)?

Murid-murid Pendidikan Khas yang dikategorikan bermasalah pembelajaran ialah:

1. Autisme
2. Sindrom Down
3. Selebral Palsi
4. Dileksia
5. Hiperaktif (ADHD) / Hipoaktif
6. Lembam
7. Pintar cerdas
8. Terencat akal yang minima
 
Setiap murid-murid ini mempunyai potensi yang berbeza-beza. Teknik pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai diterapkan mengikut tahap kebolehan murid. Tahap masalah murid-murid ini boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iatu baik, sederhana dan lemah.
Bagi memenuhi keperluan individu proses pengajaran dan pembelajaran di Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran dibentuk secara fleksibel dan ini bertepatan dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997,yang menyatakan
“ Guru -guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat  Pendidikan Khas”.

Program Inklusif

Program Inklusif ialah Program Pendidikan Khas (bermasalah pembelajaran) yang menempatkan murid-murid yang berpotensi untuk mengikuti P&P di kelas normal. Pemilihan murid-murid adalah berdasarkan penilaian prestasi dan pencapaian mereka di kelas khas. Menerusi program ini, murid-murid khas berpeluang mengikuti mana-mana matapelajaran di kelas aliran perdana dengan bimbingan daripada guru matapelajaran tersebut dan seorang guru pendidikan khas.

KSSR

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mula dilaksanakan pada 2011 secara berperingkat bermula dengan Tahun 1 di semua Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas dan sekolah rendah yang melaksanakan Program Pendidikan Khas Integrasi.

Pelaksanaan KSSR bagi Pendidikan Khas adalah seperti berikut:
Murid Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran)

Murid-murid ini mengikuti Kurikulum Altenatif yang digubal khusus berasaskan KSSR.
Murid Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan)

Murid-murid ini mengikuti KSSR arus perdana dengan penambahan Kemahiran Asas Individu Masalah Penglihatan (KAIMAL). Kurikulum Pendidikan Jasmani dan Dunia Seni diubahsuai mengikut keperluan         murid.






Wednesday, 4 May 2016

SARANAN KEPENTINGAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN KHAS


SARANAN KEPENTINGAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN KHAS  

Perkembangan dan penggunaan ICT (Information and Communication Technology) atau dipanggil “Teknologi Komunikasi dan Maklumat”,khususnya dalam pendidikan, bukan lagi merupakan sesuatu yang asing di Malaysia. Perkembangan ICT menjanjikan potensi besar, terutamadalam pendidikan, iaitu dengan mengubah cara seseorang belajar,cara memperoleh maklumat, cara menyesuaikan setiap maklumat, dan sebagainya. Sejajar dengan perkembangan ICT dalam dunia pendidikan,Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil beberapa langkah dalam mengintegrasikan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di semua peringkat sekolah. Proses P&P yang berlaku merupakan elemen penting dalam meningkatkan pencapaian akademik pelajar.


Pendidikan khas juga tidak terkecuali dari tempias perkembangan ICT yang mana ia banyak memberi faedah kepada proses P&P yangberlaku di sekolah pendidikan khas. Analisis pendidikan khas merujuk pada kegiatan yang menjelaskan unsur-unsur dalam pendidikan khas,termasuklah peristilahan, doktrin, atau ajaran.Beberapa perkara perlu dipertimbangkan oleh guru dalam mendidik pelajar khas. Ini kerana pendekatan penerimaan pembelajaran mereka amat berbeza dengan pelajar biasa. Menurut Effandi Zakaria (2004), pelajar khas ini menunjukkan kesukaran dalam keupayaan visual ruang. Mereka menghadapi masalah berkaitan pengiraan, bahasa, dan sebagainya.Oleh itu, mereka mempunyai keupayaan yang terhad dalam pencapaian berbanding pelajar-pelajar biasa yang sebaya dengannya. Justeru itu, pengenalan ICT kepada pelajar khas merupakan satu idea yang perludi pertimbangkan terlebih dahulu, kerana ICT memerlukan pelajar yang menguasai dan berkemahiran dalam menggunakannya.

Oleh itu, tahap pelajar khas yang sederhana dalam pencapaian akademik dibimbangi akan menyebabkan mereka takut dan tidak berminat menguasai ICT. Ini akan menjadi satu kerugian jika ICT tidak diaplikasi dalam pendidikan Khas kerana banyak kelebihan boleh digunakan melaluinya. Berdasarkan kepada kajian dokumentasi yang dilakukan oleh Mohd Arif Hj Ismail dan Norsiati Razali @ Mohd Ghazali (2003) ke atas sebuah sekolah bestari di daerah Kuantan, Negeri Pahang, didapati bahawa penggunaan makmal komputer untuk penggunaan perisian kursus bestari atau melayari internet yang disediakan agak kurang memuaskan. Oleh itu, tahap penggunaan komputer di Sekolah Pendidikan Khas menjadi persoalan yang boleh dikaji, ekoran daripada kajian yang telah dijalankan di sekolah bestari kerana perlaksanaan di kedua-dua sekolah adalah berbeza.

Pendidikan Khas

Di Malaysia, pendidikan khas dikelaskan kepada mereka yang mempunyai kecacatan seperti cacat penglihatan (buta), cacat penglihatan(pekak), dan lain-lain. Falsafah Pendidikan Khas menegaskan mengenai kepentingan setiap orang kanak-kanak yang mempunyai perbezaan dalam diri sendiri dan antara individu-individu. Oleh itu, pendekatan pembelajaran bagi setiap pelajar pendidikan khas adalah berbeza-beza dan mengikut kesesuaian mereka.
Pendidikan Khas Aliran Teknik dan Vokasional

Terdapat dua jenis kategori sekolah di bawah Pendidikan Khas Aliran Teknik dan Vokasional, iaitu Sekolah Khas dan Sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi. Program integrasi (pelajar-pelajar menyesuaikan diri ke dalam sistem persekolahan yang tidak menyediakan ruang dan kemudahan untuk pengubahsuaian) dijalankan dengan kerjasama Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah harian yang mana sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi. Terdapat enam buah sekolah di bawah kategori sekolah ini, iaitu Sekolah Menengah Vokasional (EAT) Azizah, Johor Bharu; Sekolah Menengah Teknik Langkawi, Kedah, Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Johor, Sekolah Menengah Vokasional Bagan Serai Perak, Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah, Kelantan; dan Sekolah Menengah Vokasional Keningau, Sabah. Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang (SMPKP Pulau Pinang), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indah Pura Kulai (Johor), dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam (SMPKV Shah Alam) pula merupakan antara contoh Sekolah Khas.

Pelajar Cacat Pendengaran (Pekak)

Kajian yang dijalankan adalah melibatkan pelajar cacat pendengaran dari aliran teknik dan vokasional sekolah pendidikan khas. Berdasarkan kepada pernyataan Chua Tee Tee dan Koh Boh Boon (1992) bahawa kanak-kanak pekak boleh dikatakan lebih tepat sebagai seorang yang rosak pendengaran kerana dalam kebanyakan contoh, ia mempunyai pendengaran separa. Di dalam Sistem Pendidikan Khas, pelajar-pelajar dengan keperluan khas dalam kategori masalah pendengaran telah menggunakan Program Pendidikan Khas Bermasalah Pendengaran dimana murid-murid ini dilatih daripada segi pertuturan dan belajar subjek-subjek yang dipelajari oleh murid-murid biasa dengan menggunakan komunikasi seluruh bahasa isyarat. Program ini disediakan di dua tempat, iaitu di sekolah khas dan juga di sekolah biasa (program integrasi).






 Huruf  asas dalam bahasa  isyarat yang digunakan untuk berinteraksi dengan pelajar ketidakupayaan pendengaran.






Pelajar Ketidakupayaan penglihatan 

Masalah penglihatan dari segi pendidikan bermaksud sekumpulan kanak-kanak yang memerlukan pendidikan khas kerana mempunyai masalah penglihatan. Kaedah penyampaian pembelajaran dan bahan bantu mengajar perlu diadaptasikan dengan keperluan kanak-kanak ini supaya dapat mengoptimakan pembelajaran dan pencapaian mereka. Kanak-kanak ini memerlukan kurikulum khas yang khusus dan kaedah pengajaran yang sesuai dengan ketidakupayaan mereka. Masa mereka di sekolah adalah masa yang amat berharga yang perlu digunakan sepenuhnya untuk meminimumkan kesan kecacatan terhadap keupayaan mereka. Antara kaedah pengajaran yang digunakan ialah dengan menggunakan mesin braille serta kod tulisan braille. Bagi pelajar yang rabun pula, adalah lebih sesuai menggunakan kanta ataupun diberikan lembaran kertas kerja yang tulisannya bersaiz besar ataupun mengikut kesesuaian sudut penglihatan mereka.


 Alat teknologi iaitu mesin Braille yang digunakan secara meluas dalam pendidikan Khas bagi membantu pelajar yang mempunyai masalah penglihatan membaca dan menulis.
Dapat dirumuskan di sini bahawa strategi pengajaran merupakan antara faktor dalam menentukan kecemerlangan pelajar pendidikan khas, kerana peranan guru pendidikan khas amat penting dalam menentukan keberkesanan penggunaan komputer. Dengan pendedahan yang berterusan ke arah membudayakan penggunaan komputer, ia banyak memberi kelebihan kepada pelajar pendidikan khas dalam bersaing dengan pelajar biasa. Ini adalah bertujuan mengelakkan pelajar pendidikan khas ketinggalan ICT, memandangkan perkembangannya yang terlampau pesat. Oleh sebab itu, peranan pihak sekolah amat penting dalam menyediakan kemudahan komputer di sekolah. Antara cadangan yang boleh diberikan ialah guru sepatutnya sentiasa peka terhadap perkembangan teknologi terkini serta menyertai kursus tentang penggunaan komputer agar dapat mempelbagaikan teknik pengajaran.



Saturday, 30 April 2016

PENDIDIKAN KHAS BERMASALAH PEMBELAJARAN: ISU - ISU DALAM PERLAKSANAANNYA


PENDIDIKAN KHAS BERMASALAH PEMBELAJARAN:  ISU - ISU DALAM PERLAKSANAANNYA  


Program Sekolah Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKB) atau kini dikenali sebagai PPKIBP bukan lagi satu perkara baru Negara kita. Program ini telah wujud pada tahun 1988 dan kelas sekolah peringkat menengah dibuka pada tahun 1995. Di Negari Sabah, PKBP telah ditubuhkan pada tahun 1989 dan SK Bukit Padang selaku sekolah perintis. Penubuhan sekolah intergrasi PKBP ini selaras dengan usaha Jabatan Pendidikan Khas (JPK) dalam menyediakan kemudahan pendidikan bagi murid berkeperluan khas sejajar dengan deklarasi antarabangsa yang telah Malaysia tandatangani. Pada keseluruhannya, deklarasi tersebut menyarankan agar negara-negara di dunia yang menjadikan kanak-kanak cacat sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan Negara. Serta menyarankan agar kanak-kanak tersebut diberi hak samarata dalam pendidikan dan ibubapa mereka diberi hak menentukan jenis pendidikan sesuai untuk anak mereka.


Umum mengetahui bahawa Program Pendidikan Khas terutamanya Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) di Negara kita masih lagi dalam fasa perkembangan dan pemurnian perlaksanaannya. Ini bermakna banyak perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki. Hasil daripada pemerhatian dan pembacaan Pelatih, selama tempoh fasa perkembangan PKBP ini, walaupun tahap kesedaran semakin meningkat dikalangan ibu bapa dan pihak lain terhadap keperluan kanak-kanak berkeperluan khas, namun ada segelintir manusia menganggapnya memenuhi keperluan kanak - kanak ini adalah pilihan terakhir. Isu sokongan daripada pihak pengurusan dan pentadbiran sekolah adalah sangat penting dalam sesebuah sekolah Intergrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran memandangkan pihak inilah yang paling hampir dengan program pendidikan khas. Masalah pihak pentadbiran yang masih kurang memberi sokongan kepada program PKBP bukan sahaja menjadi masalah beberapa buah sekolah malah mencakupi beberapa sekolah lain di Semenanjung Malaysia. Kurangnya sokongan pihak pentadbiran boleh dilihat dari segi layanan pihak pentadbir terhadap guru dan murid pendidikan khas sebagai golongan kelas kedua, kurangnya peruntukan kewangan serta sikap kurang senang pihak pentadbir apabila murid pendidikan khas mengikuti peperiksaan awam di mana ia akan menjatuhkan graf peperiksaan awam sekolah. Dalam menangani isu ini, perlunya ada program pendedahan Pogram Pendidikan Khas terutamanya Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran dikalangan semua pihak pentadbir terutamanya bagi sekolah-sekolah yang baru membuka program ini dan juga pihak pentadbir yang baru berkecimpung dalam dunia pendidikan khas tertamanya Guru Besar atau Pengetua sekolah. Berdasarkan pendedahan itu, persefahaman pengurusan penyelaras pendidikan dan Guru Besar / Pengetua akan menjadi lebih baik. Dialog diantara guru pendidikan khas, Guru Besar/Pengetua dengan Pihak Jabatan Pendidikan Khas secara berterusan adalah perlu bagi memantapkan lagi persefahaman tersebut selain daripada penyampaian maklumat adalah lebih telus dan terkini.

Aspek pembangunan fizikal sesebuah sekolah yang tidak mengikut keperluan murid pendidikan khas juga dilihat sebagai isu oleh Pelatih. Isu ini boleh dilihat pada sekolah-sekolah lama dan juga pembukaan program PKBP semata-mata untuk memenuhi keperluan pertambahan murid di sesebuah kawasan sekolah itu. Bagi Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran di sekolah yang ditempatkan Pelatih, secara fizikalnya boleh dilihat adalah masalah ruang. Ruang yang diperuntukan adalah satu baris blok bangunan sekolah di mana setiap satu kelas atau lebih dikenali sebagai stesen menempkan tiga buah ‘kelas’ yang setiapnya terdiri daripada enam hinggah lapan orang murid. Bilangan murid dalam satu stesen adalah kurang sesuai dan agak sesak bagi murid pendidikan khas bermasalah pembelajaran yang mana ada diantara mereka mengalami masalah Hiperaktif, ADHD dan bermasalah emosi. Murid – murid seperti ini memerlukan satu ruang yang agak luas bagi membantu mereka dari segi perkembangan emosi serta perubahan tingkah-laku mereka. Berdasarkan pengalaman Pelatih semasa proses pengajaran dan pembelajaran, ruang yang terhad sedikit sebanyak membataskan bukan sahaja pergerakaan murid malah pergerakkan Pelatih. Batasan pergerakkan ini tidak memberi ruang dan peluang kepada murid untuk melakukan aktivit pergerakkan dalam bilik darjah.  
Masalah lain yang timbul ekoran daripada isu ruang terhad ialah gangguan pembelajaran dari kelas/kumpulan lain dalam bilik darjah yang sama. Tumpuan Pelatih tidak hanya kepada murid yang sepatutnya Pelatih ajar pada waktu itu, malah Pelatih terpaksa memberi perhatian juga kepada kelas/kumpulan murid lain dalam bilik darjah tersebut sekiranya guru yang sepatutnya lewat atau tidak masuk mengajar. Selain itu, gangguan juga berlaku apabila ketiga-tiga guru mengajar  murid masing – masing pada masa yang sama apatah lagi apabila melibatkan bahan bantu mengajar seperti radio atau alat muzik. Dan ini juga menyebabkan tumpuan murid Pelatih bukan sahaja kepada Pelatih tetapi juga guru di sebelah atau mereka akan bermain dan berkomunikasi dengan rakan sebelah meja. Bagi mengurangkan gangguan –ganguan seperti di atas, Pelatih akan membawa murid ke bilik resos sekiranya Pelatih akan menggunakan radio atau alat muzik atau ingin melaksanakan aktiviti permainan.

Kesediaan guru dalam membentuk kemahiran, kecekapan dan latihan dalam menangani murid berkeperluan khas ini juga sering menjadi isu sesetengah ibu bapa  terutamanya golongan berpelajaran tinggi. Pada umumnya ibu bapa meyimpan harapan yang terlalu tinggi untuk anak mereka dan mengharapkan sesuatu hasil yang terbaik dalam tempoh yang singkat. Menurut pemerhatian Pelatih, kebanyakan guru-guru pendidikan khas di mana Pelatih ditempatkan adalah guru yang begitu komited pada tugas mendidik murid mereka. Cuma kekangannya adalah ada diantara guru tersebut dan termasuklah Pelatih kurang berkemahiran atau tidak tahu bagaimana menangani atau menyediakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih spesifik kepada masalah pembelajaran yang lebih spesifik bagi setiap murid tersebut. Ini kerana kebanyakan guru yang sudah lama mengajar terdiri daripada mereka yang bukan opsyen pendidikan khas dan hanya mengikuti  beberapa kursus di awal penglibatan mereka dalam program ini. Kurangnya alat bantu mengajar yang sesuai serta boleh mengembangkan kemahiran murid juga boleh menjadi faktor kelewatan penerimaan murid terhadap pembelajaran. Pada kebiasaannya guru hanya menggunakan pendekatan seperti mana murid kelas perdana cuma tahap pengajaran direndahkan sesuai dengan murid. Pendekatan latih tubi ini sesuai bagi dikalangan murid yang sudah boleh memegang pensel, mengenal nombor atau huruf asas. Bagaimana dengan murid yang tidak berupaya memegang pensel atau bercakap sekali pun. Contohnya seorang murid Autisma yang hanya dengan dunianya. Tidak mahu terlibat lansung dalam sebarang aktiviti pembelajaran dan datang ke sekolah hanya kerana dihantar oleh ibu bapa dan juga sudah menjadi kebiasaanya bangun setiap pagi dan ke sekolah. Pelatih dapati tidak banyak alat bantu mengajar yang sesuai untuk murid seperti ini yang terdapat di sekolah. Ada pun tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana kurang kemahiran menggunakannya.    

Apa yang dilihat Pelatih, kebergantungan 100% ibubapa atau penjaga murid kepada pihak sekolah dalam mendidik anak mereka adalah satu perkara yang melambatkan proses penerimaan pembelajaran murid. Berbeza dengan sesetengah ibubapa / penjaga yang prihatin seperti mengajar anak mereka semasa di rumah atau menghantar anak mereka ke NGO setelah pulang sekolah, perkembangan anak mereka adalah lebih baik. Ini berikutan pihak guru tidak memiliki kepelbagaian kemahiran atau multidiscipline seperti menangani masalah pertuturan atau terapi pergerakkan. Masalah pertuturan yang tidak diatasi akan menjadi masalah semasa sesi pembelajaran seperti dalam Mata Pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Sikap menyerahan anak – anak mereka sepenuhnya dibawah jagaan sekolah dan menganggap sekolah seperti pusat jagaan kanak-kanak adalah perlu dikikis. Pelatih juga melihat ada dikalangan ibubapa yang memandang rendah akan peranan dan profesion sebagai guru pendidikan khas. Sikap sebegini akan memburukkan hubungan kedua - dua pihak dan secara tidak lansung akan memberi kesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana secara psikologinya guru akan mula kurang bermotivasi dalam pengajarannya. Justeru itu, kedua – dua pihak iaitu pihak guru dan juga ibubapa perlu bersikap professional akan peranan masing – masing dan perlu ada “give and take”. Pihak Jabatan Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri, sekolah dan pihak Bukan Kerajaan perlu bekerjasama dalam memberi pendedahan kepada ibubapa/penjaga berhubung dengan permasalahan anak – anak mereka. Ilmu penting untuk kesemua pihak memahami fungsi dan peranan masing – masing dan tidak menyalahkan serta mengharapkan orang lain semata – mata. Keterlibatan ibubapa dalam program yang dianjurkan sekolah bukan sahaja memperlihatkan mereka diperlukan di sekolah tetapi juga satu usaha dalam membina hubungan yang baik.

Berhubung dengan isu murid bermasalah pembelajaran menduduki peperiksaan awam, ada dikalangan sekolah kurang senang akan keadaan tersebut. Ini kerana murid pendidikan khas ini akan menjatuhkan statistik markah peperiksaan awam sekolah dan sekaligus memburukkan prestasi sekolah. Oleh itu, murid pendidikan khas tidak perlu  mengambil peperiksaan awam memandangkan perkara ini juga tidak wajib untuk mereka. Berbeza dengan di sekolah Pelatih ditempatkan, masalah ini tidak timbul berikutan pihak sekolah mengadakan dua pusat peperiksaan. Di mana ia membezakan pusat peperiksaan awam murid – murid bermasalah pembelajaran dan juga murid – murid perdana. Walaubagaimanapun, apa yang ingin Pelatih timbulkan ialah soalan peperiksaan awam yang diduduki oleh murid pendidikan khas dengan murid perdana adalah sama. Ini adalah tidak adil bagi murid pendidikan khas kerana umum mengetahui tahap akademik mereka. Murid ini akan mengalami masalah pada kebanyakkan soalan yang melibatkan penyelesaian masalah.

Penyediaan keperluan pendidikan yang khusus dikalangan murid pendidikan khas adalah merupakan satu cabaran bukan sahaja di pihak Jabatan Pendidikan Khas malah melibatkan semua pihak yang memikul amanah menyediakan pendidikan untuk murid – murid ini. Komitmen  serta kerjasama daripada semua pihak dalam memabantu dari segi perancangan serta perlaksanaan program – program Jabatan Pendidikan Khas merupakan perkara utama dalam memastika ianya berjaya.  Ini kerana mendidik murid  berkeperluan khas ini bukanlah mudah kerana mereka memerlukan set persekitaran yang kondusif bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga dari segi nilai - nilai  kemanusiaan. Usahasama daripada semua pihak ini seperti pihak yang mempunyai sarjana dalam pendidikan kanak – kanak  istimewa seperti tenaga pengajar Institut Pendidikan Tinggi (IPT), Institut Pendidikan Guru (IPG) serta pihak – pihak berpengalaman seperi Badan Bukan Kerajaan (NGO) tentunya akan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat terhadap pendidikan ini dan setanding dengan  di luar negara.

ISU-ISU PENDIDIKAN KHAS (GURU)



  ISU-ISU PENDIDIKAN KHAS (GURU)


Kemahiran Guru
Kebanyakkan guru - guru yang mengajar Pendidikan Khas adalah tidak terlatih untuk mengajar murid-murid Pendidikan Khas. Melalui kajian yang dilakukan oleh Aliza Alias dan Mohd Mokhtar Tahar dari fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia melalui petikan akhbar Utusan Malaysia (2007), menyatakan bahawa :

“Hanya 13.3 peratus sahaja guru yang terlibat dalam kajian ini mempunyai bidang pengkhususan masalah pembelajaran. Secara keseluruhannya 86.7 peratus guru yang mengajar dalam program ini adalah guru yang tidak dilatih mengajar kanak-kanak masalah pembelajaran,” menurut kajian itu.

Ini bermaksud bilangan guru yang mengajar pendidikan Khas pada waktu itu bukanlah guru yang datang dari opsyen Pendidikan Khas yang mana mereka ini tidak terlatih. Segelintir manusia menjadikan Pendidikan Khas sebagai kerjaya terakhir kerana mereka tidak mendapat pekerjaan lain setelah menamatkan pengajian di universiti. Menurut kajian itu lagi, guru perlulah mempunyai ilmu dan kemahiran tentang ciri kanak-kanak supaya perhatian terhadap keperluan mereka dapat ditumpukan dengan berdasarkan keupayaan murid untuk belajar. Kekurangan ilmu dan kurangnya latihan pedagogi untuk mengajar murid-murid khas akan mencetuskan rasa tidak puas hati oleh ibu bapa yang terdiri daripada golongan berpendidikan.

Bebanan tugas
Isu yang seterusnya ialah isu berkaitan bebanan tugas semasa di sekolah. Menjadi seorang guru memerlukan kesabaran dan ini merupakan perkara yang seharusnya diketahui oleh guru-guru sejak dari mula menjejakkan kaki ke bidang ini lebih-lebih lagi mereka yang terlibat dengan program Pendidikan Khas, Namun setiap perkara ada batasannya kerana guru juga manusia biasa dengan keperluan sama seperti orang lain. Guru Khas selalunya diberikan dibebankan dengan waktu ganti (relief class) kelas perdana. ini akan mengganggu perjalanan sesi pengajaran guru pendidikan Khas yang terpaksa meninggalkan kelas kerana menggantikan kelas guru aliran perdana yang tidak hadir ke sekolah. 

Selain itu, guru Pendidikan Khas juga dibebankan dengan tugas-tugas bukan mengajar kerana dilantik memegang jawatankuasa yang mempunyai tugasan berat seperti setiausaha sukan di sekolah. Melalui jawatankuasa seperti ini, guru pendidikan Khas perlu guru sentiasa meninggalkan kelas untuk bermesyuarat dan menjalankan menghadiri aktiviti luar yang akan menyebabkan murid-murid khas terabai.

Tanggapan negatif guru aliran perdana
Hal lain yang turut menjadi persoalan ialah persepsi negatif guru-guru aliran perdana terhadap guru-guru Pendidikan Khas. Kenyataan yang tidak selesa untuk didengar ialah kerja mudah elaun besar!. Pepatah Melayu ada mengatakan ‘tidak tahu maka tak cinta’. Guru yang kurang pengetahuan tentang murid berkeperluan khas biasanya tidak memahami tugas guru Pendidikan Khas. Tahap pengetahuan guru aliran perdana tentang pendidikan khas adalah masih rendah

Antara isu yang menjadi bualan guru aliran perdana terhadap Guru Pendidikan Khas ialah “senang sahaja, murid sedikit jadi senang nak kawal “ , “ bukan mengajar sangat, asyik menyanyi lepas itu menonton televisyen” , “ tidak perlu terlibat dalam pengurusan sekolah kerana terikat dengan etika mereka jadi tidak sibuk seperti guru aliran perdana” dan banyak lagi.

“Kerjaya Guru Pendidikan Khas senang dan murid sedikit memudahkan kawalan kelas”. Isu tersebut sebenarnya tidak patut dibicarakan oleh guru aliran perdana kerana mereka tidak merasai bagaimana keadaan kelas tersebut jika terdapat 2 orang murid hiperaktif. Ia seperti kelas tersebut mengandungi 20 orang murid. Kadang-kadang guru itu sendiri yang putus asa dengan murid tersebut. Memang tidak dapat dinafikan bilangan murid pendidikan khas yang hadir pada masa itu cuma 2 orang tetapi tumpuan guru terhadap murid tersebut perlu lebih supaya keselamatan murid tersebut akan terjamin.

Guru aliran perdana jika melihat proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan khas memang akan merasakan ‘Guru Pendidikan Khas tidak mengajar’. Mereka tidak tahu murid aliran perdana dan murid Pendidikan Khas berbeza dari pelbagai aspek. Contohnya kepelbagaian kategori murid Pendididkan memerlukan guru Pendidikan Khas merancang pelbagai teknik , kaedah dan strategi pengajaran. Guru aliran perdana mempersoalkan murid Pendidikan Khas banyak bermain. Memang tidak dapat dinafikan guru Pendidikan Khas banyak mengunakan teknik bermain untuk mengajar murid Pendidikan Khas kerana dengan bermain murid dapat melatih dan memastikan psikomotor halus dan kasar berfungsi. Kalau tidak dibuat terapi bermain, bagaimana murid Pendidikan Khas hendak berkembang. Lagipun dengan bermain murid akan berasa seronok untuk belajar.

“Guru Pendidikan Khas tidak perlu terlibat dalam pengurusan sekolah kerana terikat dengan etika mereka”. Tanggapan Guru aliran perdana adalah tidak benar sama sekali. Dalam etika Pendidikan Khas tidah menyatakan guru Pendidikan Khas tidak boleh merlakukan aktiviti pengurusan dan merlakukan aktiviti di sekolah. Isu ini bukan berpunca dari guru Pendidikan Khas tetapi ada sesetengah sekolah cuba mengelakkan guru Pendidikan Khas dari terlibat dalam pengurusan sekolah kerana mereka memberi peluang kepada guru Pendidikan khas menumpu sepenuh perhatian terhadap pengurusan murid Pendidikan khas.

Friday, 29 April 2016

ISU PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN KHAS


 ISU PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN KHAS


Isu Perlaksanaan Pengajaran:

Tugas utama seorang pengajar atau guru adalah untuk memudahkan pembelajaran para pelajar. Untuk memenuhi tugas ini, pengajar atauguru bukan sahaja harus dapat menyediakan suasana pembelajaran yang menarik dan harmonis, tetapi mereka juga menciptakan pengajaran yang berkesan. Ini bermakna guru perlu mewujudkan suasana pembelajaran yang dapat meransangkan minat pelajar di samping sentiasa memikirkan kebajikan dan keperluan pelajar. Dalam sesi pembelajaran, guru kerap berhadapan dengan pelajar yang berbeza dari segi kebolehan mereka. Hal ini memerlukan kepakaran guru dalam menentukan strategi pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna, guru boleh menentukan pendekatan, memilih kaedah dan menetapkan teknik teknik tertentu yang sesuai dengan perkembangan dan kebolehan pelajar.

Strategi yang dipilih itu, selain berpotensi memeransangkan pelajar belajar secara aktif, ia juga harus mampu membantu menganalisis konsep atau idea dan berupaya menarik hati pelajar serta dapat menghasilkan pembelajaran yang bermakna. Kadangkala hal sedemikian tidak berlaku dalam Pendidikan Khas. Ada sebilangan guru yang mengambil kesempatan dengan ketidakupayaan murid. Mereka mengambil jalan yang mudah dan mengajar dengan sambil lewa sahaja. Tidak ada persediaan dan beranggapan tidak perlu bersusah payah mengajar kerana mereka pasti tidak cemerlang seperti murid aliran perdana. Tidak perlu tetapkan target kerana mereka sememangnya tidak ada pencapaian. Sikap beginlah menjadikan persepsi guru aliran perdana dan pihak pentadbir semakin berat sebelah . Terdapat guru yang melengahkan masa untuk masuk ke dalam kelas, dan ada juga yang masuk tetapi tiada pengisian yang diterima oleh murid tersebut. Pengajaran tidak berlaku biasanya guru akan mengambil latihan di dalam buku yang dibeli dan difotostat untuk semua muridnya.

 Kemudian, murid akan diarah menyiapkan latihan tersebut sementara guru membuka laptop dan melayari internet. Hal ini sememangnya amat tidak patut dilakukan oleh guru walaupun mereka menganggap pengajaran akan menjadi sia sia kerana murid cepat lupa. Bagi guru yang prihatin, memang akan digunakan latihan di dalam buku namun perlu mempunyai pengisian dan mengajar dahulu murid berkaitan pengajaran tersebut. Betulah jika pihak pentadbir mengatakan murid Pendidikan Khas setiap hari asyik mewarna. Selain daripada itu, hasil kerja murid tidak dinilai dengan betul. Memberi tugasan kepada hanya sebagai umpan untuk duduk diam sahaja. Murid tidak dibimbing dengan baik dan seperti yang sepatutnya. Guru Pendidikan Khas sendiri memandang rendah kepada kemampuan muridnya apatah lagi orang lain. Isu seterunya berkaitan dengan pengawasan dan tanggungjawab guru selepas waktu mengajar mereka. Walaupun bukan tugas guru biasa untuk mengawasi murid selepas waktu mengajar, ia berbeza dengan pendidikan khas. Murid ini perlu diawasi setiap masa namun bukan perlu memegangnya, cuma diperhati dan menegur sekiranya salah.

Namun, kebanyakan guru tidak menghiraukan perkara tersebut dan memandang sebelah mata sahaja sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini. Selalunya tugas ini akan ditolak terus kepada pembantu pengurusan murid dan guru pula duduk rehat dan melayari internet ataupun berborak sesama sendiri. Berbeza pula bagi guru yang prihatin,mereka akan mengiringi muridnya ke kantin dan mengawasi agar tidak berlaku pergaduhan atau menganggu murid lain.

CADANGAN MENGATASI:
Guru pendidikan khas merupakan individu yang paling penting di dalam kelas pendidikan khas. Sebagai pendidik mereka perlu merancang proses pengajaran mereka dengaan baik. Mereka perlu tingkatkan kemahiran dan memperbaiki mutu proses pengajaran. Guru perlu mewujudkan suasana yang kondusif supaya murid dapat belajar dengan selesa dan kondusif. Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas atau Penyelaras memainkan peranan penting memantau dan memberi teguran serta menasihati guru-guru supaya yang melakukan kesilapan. Mereka perlu diberi kesedaran dan pengetahuan mengenai tugas dan tanggungjawab seorang guru Pendidikan Khas.

Guru yang cemerlang mempunyai sahsiah yang terpuji, berketrampilan dan berpegang teguh kepada etika perguruan dan etika perkhidmatan serta peka dan prihatin terhadap keperluan pelajar. Mereka perlu menguasai dan menghayati sepenuhnya kandungan mata pelajaran kepakarannya, menjadi pakar rujuk pengajaran dan pembelajaran, bijak mengurus masa, bahan sumber, alat pengajaran dan pembelajaran, mampu mengenalpasti keperluan dan masalah pengajaran dan pembelajaran pelajar serta menyediakan program tindakan susulan, berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Guru yang berwawasan mestilah proaktif, mempunyai inisiatif, bersifat responsif dan inovatif dalam rangka menjalankan tugas sebagai pendidik. Juga dicadangkan sekiranya ada guru yang menghadapi masalah dalam proses pengajaran, mereka perlu dibimbing cara melaksanakan pengajaran yang sesuai dengan keupayaan murid Pendidikan Khas. Terutama sekali bagi Guru Sandaran Tidak Terlatih. Mereka ini juga memerlukan guru pembimbing bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan proses pengajaran.

Selain daripada itu pihak pengurusan boleh mengadakan lawatan ke sekolahsekolah rintis sebagai penanda aras untuk memantapkan lagi profesion keguruan. Di samping itu juga digalakkan menghadiri sebarang kursus, bengkel atau seminar yang dianjurkan oleh badan-badan lain termasuk NGO sebagai pemantapan dalam ilmu pengetahuan.

Guru pelatih perlu diperketatkan lagi dengan mengambilkira aspek personalti,minat,latar belakang dan kegiatan luar. Ini memberi ruang kepada institusi perguruan membentuk insan guru yang berkualiti dan boleh melaksanakan dasardasar negara. Kementerian pelajaran juga perlu meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan guru dapat bertugas dengan dedikasi dan telus. Pemantauan perlu dijalankan secara sitematik dan berterusan supaya guru sentiasa berusaha dengan lebih cemerlang dan berkualiti. Bagi Guru Sandaran Tidak Terlatih tempoh masa yang ditetapkan untuk mendapatkan ilmu pedagogi tidak mencukupi. Mereka perlu diberi tempoh masa yang lebih lama supaya mereka dapat mempelajari tenikteknik dan pendekatan dalam pengajaran.