Wednesday, 4 May 2016

SARANAN KEPENTINGAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN KHAS


SARANAN KEPENTINGAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN KHAS  

Perkembangan dan penggunaan ICT (Information and Communication Technology) atau dipanggil “Teknologi Komunikasi dan Maklumat”,khususnya dalam pendidikan, bukan lagi merupakan sesuatu yang asing di Malaysia. Perkembangan ICT menjanjikan potensi besar, terutamadalam pendidikan, iaitu dengan mengubah cara seseorang belajar,cara memperoleh maklumat, cara menyesuaikan setiap maklumat, dan sebagainya. Sejajar dengan perkembangan ICT dalam dunia pendidikan,Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil beberapa langkah dalam mengintegrasikan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di semua peringkat sekolah. Proses P&P yang berlaku merupakan elemen penting dalam meningkatkan pencapaian akademik pelajar.


Pendidikan khas juga tidak terkecuali dari tempias perkembangan ICT yang mana ia banyak memberi faedah kepada proses P&P yangberlaku di sekolah pendidikan khas. Analisis pendidikan khas merujuk pada kegiatan yang menjelaskan unsur-unsur dalam pendidikan khas,termasuklah peristilahan, doktrin, atau ajaran.Beberapa perkara perlu dipertimbangkan oleh guru dalam mendidik pelajar khas. Ini kerana pendekatan penerimaan pembelajaran mereka amat berbeza dengan pelajar biasa. Menurut Effandi Zakaria (2004), pelajar khas ini menunjukkan kesukaran dalam keupayaan visual ruang. Mereka menghadapi masalah berkaitan pengiraan, bahasa, dan sebagainya.Oleh itu, mereka mempunyai keupayaan yang terhad dalam pencapaian berbanding pelajar-pelajar biasa yang sebaya dengannya. Justeru itu, pengenalan ICT kepada pelajar khas merupakan satu idea yang perludi pertimbangkan terlebih dahulu, kerana ICT memerlukan pelajar yang menguasai dan berkemahiran dalam menggunakannya.

Oleh itu, tahap pelajar khas yang sederhana dalam pencapaian akademik dibimbangi akan menyebabkan mereka takut dan tidak berminat menguasai ICT. Ini akan menjadi satu kerugian jika ICT tidak diaplikasi dalam pendidikan Khas kerana banyak kelebihan boleh digunakan melaluinya. Berdasarkan kepada kajian dokumentasi yang dilakukan oleh Mohd Arif Hj Ismail dan Norsiati Razali @ Mohd Ghazali (2003) ke atas sebuah sekolah bestari di daerah Kuantan, Negeri Pahang, didapati bahawa penggunaan makmal komputer untuk penggunaan perisian kursus bestari atau melayari internet yang disediakan agak kurang memuaskan. Oleh itu, tahap penggunaan komputer di Sekolah Pendidikan Khas menjadi persoalan yang boleh dikaji, ekoran daripada kajian yang telah dijalankan di sekolah bestari kerana perlaksanaan di kedua-dua sekolah adalah berbeza.

Pendidikan Khas

Di Malaysia, pendidikan khas dikelaskan kepada mereka yang mempunyai kecacatan seperti cacat penglihatan (buta), cacat penglihatan(pekak), dan lain-lain. Falsafah Pendidikan Khas menegaskan mengenai kepentingan setiap orang kanak-kanak yang mempunyai perbezaan dalam diri sendiri dan antara individu-individu. Oleh itu, pendekatan pembelajaran bagi setiap pelajar pendidikan khas adalah berbeza-beza dan mengikut kesesuaian mereka.
Pendidikan Khas Aliran Teknik dan Vokasional

Terdapat dua jenis kategori sekolah di bawah Pendidikan Khas Aliran Teknik dan Vokasional, iaitu Sekolah Khas dan Sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi. Program integrasi (pelajar-pelajar menyesuaikan diri ke dalam sistem persekolahan yang tidak menyediakan ruang dan kemudahan untuk pengubahsuaian) dijalankan dengan kerjasama Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah harian yang mana sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi. Terdapat enam buah sekolah di bawah kategori sekolah ini, iaitu Sekolah Menengah Vokasional (EAT) Azizah, Johor Bharu; Sekolah Menengah Teknik Langkawi, Kedah, Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Johor, Sekolah Menengah Vokasional Bagan Serai Perak, Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah, Kelantan; dan Sekolah Menengah Vokasional Keningau, Sabah. Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang (SMPKP Pulau Pinang), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indah Pura Kulai (Johor), dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam (SMPKV Shah Alam) pula merupakan antara contoh Sekolah Khas.

Pelajar Cacat Pendengaran (Pekak)

Kajian yang dijalankan adalah melibatkan pelajar cacat pendengaran dari aliran teknik dan vokasional sekolah pendidikan khas. Berdasarkan kepada pernyataan Chua Tee Tee dan Koh Boh Boon (1992) bahawa kanak-kanak pekak boleh dikatakan lebih tepat sebagai seorang yang rosak pendengaran kerana dalam kebanyakan contoh, ia mempunyai pendengaran separa. Di dalam Sistem Pendidikan Khas, pelajar-pelajar dengan keperluan khas dalam kategori masalah pendengaran telah menggunakan Program Pendidikan Khas Bermasalah Pendengaran dimana murid-murid ini dilatih daripada segi pertuturan dan belajar subjek-subjek yang dipelajari oleh murid-murid biasa dengan menggunakan komunikasi seluruh bahasa isyarat. Program ini disediakan di dua tempat, iaitu di sekolah khas dan juga di sekolah biasa (program integrasi).






 Huruf  asas dalam bahasa  isyarat yang digunakan untuk berinteraksi dengan pelajar ketidakupayaan pendengaran.






Pelajar Ketidakupayaan penglihatan 

Masalah penglihatan dari segi pendidikan bermaksud sekumpulan kanak-kanak yang memerlukan pendidikan khas kerana mempunyai masalah penglihatan. Kaedah penyampaian pembelajaran dan bahan bantu mengajar perlu diadaptasikan dengan keperluan kanak-kanak ini supaya dapat mengoptimakan pembelajaran dan pencapaian mereka. Kanak-kanak ini memerlukan kurikulum khas yang khusus dan kaedah pengajaran yang sesuai dengan ketidakupayaan mereka. Masa mereka di sekolah adalah masa yang amat berharga yang perlu digunakan sepenuhnya untuk meminimumkan kesan kecacatan terhadap keupayaan mereka. Antara kaedah pengajaran yang digunakan ialah dengan menggunakan mesin braille serta kod tulisan braille. Bagi pelajar yang rabun pula, adalah lebih sesuai menggunakan kanta ataupun diberikan lembaran kertas kerja yang tulisannya bersaiz besar ataupun mengikut kesesuaian sudut penglihatan mereka.


 Alat teknologi iaitu mesin Braille yang digunakan secara meluas dalam pendidikan Khas bagi membantu pelajar yang mempunyai masalah penglihatan membaca dan menulis.
Dapat dirumuskan di sini bahawa strategi pengajaran merupakan antara faktor dalam menentukan kecemerlangan pelajar pendidikan khas, kerana peranan guru pendidikan khas amat penting dalam menentukan keberkesanan penggunaan komputer. Dengan pendedahan yang berterusan ke arah membudayakan penggunaan komputer, ia banyak memberi kelebihan kepada pelajar pendidikan khas dalam bersaing dengan pelajar biasa. Ini adalah bertujuan mengelakkan pelajar pendidikan khas ketinggalan ICT, memandangkan perkembangannya yang terlampau pesat. Oleh sebab itu, peranan pihak sekolah amat penting dalam menyediakan kemudahan komputer di sekolah. Antara cadangan yang boleh diberikan ialah guru sepatutnya sentiasa peka terhadap perkembangan teknologi terkini serta menyertai kursus tentang penggunaan komputer agar dapat mempelbagaikan teknik pengajaran.



No comments:

Post a Comment